FENOMENA BANJIR BESAR
FENOMENA BANJIR BESAR
AHAD, 8 JANUARI 2023
Oleh: Nor Alifah binti Ahmad ( 283288 ), Muhammad Amar Fitri bin Abd Razak ( 283255 ), Rosuardi Nizam bin Mohammd Rodzi ( 283544 ).
Banjir Besar
Fenomena bencana banjir dalam skala yang besar ini pernah beberapa kali berlaku di Malaysia. bencana ini boleh dikelaskan dalam dua jenis iaitu banjir besar dan banjir kilat. Fenomena banjir kilat berlaku disebabkan curahan air daripada hujan yang turun dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh yang singkat. Curahan air hujan yang berlebihan ini akan menyebabkan paras air akan meningkat secara mendadak akan tetapi air tersebut akan surut dalam masa yang singkat. Kejadian bencana banir kilat ini kebiasaannya akan berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan namun sistem saliran di kawasan tersebut tidak dapat menampung curahan air hujan yang banyak dan menyebabkan air bertakung sehingga menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan tersebut. Banjir ini berlaku kerana hujan lebat yang turun lebih dari kebiasaannya untuk satu tempoh tertentu sehingga menyebabkan air naik secara mendadak dengan tiba-tiba dan selepas beberapa jam ia kembali surut (Nazirah MT & The Zahariah N, 2010).
Bagi banjir besar pula ialah satu kejadian bencana yang berlaku tanpa diduga dan melibatkan keluasan yang luas akan dilimpahi air dan paras air pula dapat mencapai ketinggian yang luar biasa dan tidak diduga oleh sesiapa pun. Fenomena banjir besar ini juga lebih dikenali oleh masyarakat sebagai banjir monsoon yang mana ianya berlaku pada musim monsun ataupun musim tengkujuh dimana kejadian Tiupan Angin Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya akan berlaku di Malaysia. Tiupan angin tersebut juga kebiasannya akan mempengaruhi taburan curahan air hujan di Malaysia. kejadian tiupan angin monsun tersebut berlaku di kawasan tertentu seperti Tiupan Angin Monsun Timur Laut akan berlaku di sekitar bahagian Timur Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Daya Sarawak manakala Monsun Barat Daya berlaku di kawasan Tanah Tinggi di Utara Semenanjung Malaysia, Pantai Barat Sabah dan juga di kawasan Tanah Tinggi di Sarawak. Kejadian banjir besar ini berlaku ekoran dari curahan air hujan yang lebat dan banyak dan juga berterusan selama beberapa hari dan menyebabkan limpahan air di kawasan yang terlibat. Ianya juga akan berlaku dalam tempoh yang agak lama dan menjadi punca kepada kemusnahan dalam skala yang lebih besar.
SEJARAH BANJIR DI MALAYSIA
Banjir di Kuala Kubu, Selangor
Bencana yang pernah berlaku di Malaysia telah didokumentasikan semenjak dari tahun 1886 yang mana bencana ini berlaku di Kelantan, dan diikuti dengan beberapa kejadian banjir besar yang berlaku seterusnya. Kejadian banjir yang direkodkan ini menyebabkan beberapa jenis kemusnahan besar di kawasan yang terjejas. Negeri Selangor juga pernah dilanda banjir besar yang berlaku pada tahun 1911 di Kuala Kubu yang lainnya disebabkan oleh perbuatan manusia. Khoo Kay Kim (1989) menyatakan, dasar sungai Selangor kian bertambah tinggi kerana timbunan lanar yang berpunca daripada perlombongan bijih timah di kawasan-kawasan di hulu pecan dan menjadi semakin serius walaupun pelbagai rancangan dijalankan oleh pihak Inggeris untuk mengawal banjir tersebut. Walaubagaimanapun, kejadian banjir tersebut bukanlah yang terburuk yang pernah berlaku dimana pada 31 Disember 1977 telah berlakunya bencana banjir yang lebih teruk dari tahun 1911. Selangor Annual Report (1917:5) telah mengeluarkan kenyataan, lantaran daripada peritiwa banjir besar ini, telah memaksa pihak Inggeris untuk mengkaji semula sama ada mereka harus mengekalkan pecan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran mereka ataupun memindahkannya ke Hulu Selangor.
Bah Besar 1926
Pada tahun 1926, berlaku banjir yang dikenali sebagai Bah Besar. Tragedi banjir ini diklasifikasikan sebagau suatu serangan suatu serangan “raksasa” kerana ia dideritai oleh seluruh penduduk Sememnanjung Malaysia seperti Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor termasuk Klang (Muhammad Yusoff Hashim, 1991). Tragedi tersebut yang juga dikenali dengan Bah Ayer Merah disebabkan kejadian banjir ini berlaku akibat daripada kejadian tanah runtuh di kawasan hulu sungai sekaligus menyebabkan air sungai itu bertukar menjadi warna merah. J.M Gullick (1994) membayangkan peristiwa ini merupakan peristiwa yang dramatik dengan menyatakan “December 1926 was ‘the mother and father’ of all floods”. Kejadian banjir tersebut bermula pada 26 Disember 1926 setelah hujan lebat yang berterusan turun selama beberapa hari tanpa henti dan menyebabkan paras air sungai mula meningkat 60 kaki hingga 80 kaki, dan akhirnya mula surut pada 8 Januari 1927. Di negeri Kelantan, keadaan mula menjadi lebih teruk pada 28 dan 29 Disember 1926 apabila air di sungai Kelantan telah naik secara mendadak sehingga membanjiri sekitar kawasan lembah negeri tersebut. Beberapa kawasan utama di negeri tersebut terjejas teruk antaranya Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas. Ibu negeri Kelantan, Kota Bharu ditenggelami sedalam satu meter air dan hampir 1.5 meter air naik di Istana Balai Besar. Di daerah Kuala Krai, seluas 800 kilometer persegi kawasan daerah tersebut terjejas teruk dan dinaiki air banjir sehingga mencecah premis perniagaan. Daerah Pasir Mas pula bernasib lebih malang apabila hampir semua kawasan di daerah tersebut terjejas dan tenggelam akibat dinaiki air banjir.

Rajah 1 : Kejadian Bah Besar yang berlaku di Kelantan pada tahun 1926
Pada 25 Disember di Pahang, paras air sungai telah meningkat di Temerloh dan kemudiannya mula melimpah dari tebing sungai sehingga ke daratan sehingga mencecah tingkat bawah rumah kedai. Kejadian yang bermula 25 Disember hingga 3 Januari 1927 memperlihatkan air banjir telah naik 3 kaki hanya dalam tempoh 24 jam. Sistem Ramalan Banjir (1989/1990) telah mengeluarkan ukuran paras air banjir pada masa kejadian tersebut di Stesen Kuala Tahan, Jerantut menunjukkan bacaan paras air banjir mencatatkan 82.45 meter daripada paras air biasa, 59.28 meter. Di negeri Perak pula, banjir yang bermula pada 28 Disember hingga 4 Januari 1926 memperlihatkan bacaan paras air banjir di Stesen Kuala Lipis di daerah Lipis naik daripada 58.89 meter kepada 77.11 meter. Banjir besar ini berlaku disebabkan kenaikan air Sungai Perak dan anak-anak sungai seperti Sungai Kinta dan Sungai Batang Padang (R.O. Windstedt, 1927). Orang Melayu di Perak mempunyai kepercayaan mengenai kejadian banjir yang berlaku di negeri mereka seperti yang pernah dinyatakan oleh Winstedt. Mereka mempercayai akan terdapat dua jenis bah iaitu bah betina yang mana ianya mendatangkan lebih banyak kemusnahan berbanding bah jantan. Namun kenyataan Windstedt itu merupakan kenyataan sepintas lalu disebabkan banjir yang berlaku di negeri Perak menjadi lebih teruk dari 28 Disember hingga 1 Januari 1927. Seperti contoh Telok Anson yang tidak terjejas dengan banjir besar ini telah mula dinaiki air pada 1 Januari dan menerima kesan teruk sama seperti kawasan yang lain. Ianya adalah disebabkan peningkatan paras air sungai seperti Sungai Kinta dan Sungai Batang Padang. Selain itu beberapa daerah lain di Perak juga dinaiki air seperti daerah Perak Utara, Perak Selatan, Beruas, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kinta.
Bandar utama Malaysia, Kuala Lumpur juga turut terkesan akibat banjir yang berlaku pada tahun tersebut apabila beberapa banggunan seperti Pejabat Pos Besar dan Banggunan Sekretariat juga turut ditenggelami air. Beberapa jalan utama di negeri tersebut juga turut hilang ditenggelami air yang naik sedalam 4 kaki seperti Jalan Gereja, Jalan Malacca, Jalan Birch, Jalan Bandar dan jalan-jalan yang lain.
Banjir tahun 1967
Tahun baru 1967 di sesetengah negeri di Malaysia telah disulami dengan ribut kuat dan hujan lebat yang berterusan akibat dari hujan monsun yang melanda. Hujan monsun yang tiba dan menimpa negeri di Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Kedah, Perlis Johor dan sesetangah negeri di Barat Malaysia dan sesetengah tempat di Pulau Pinang telah menghasilkan banjir yang dilihat hampir sama dasyatnya dengan banjir yang pernah berlaku pada tahun 1926. Tambahan hujan lebat yang turun sepanjang pantai utara timur Kelantan telah membawa kepada banjir besar yang bermula pada 2 Januari hingga 6 Januari 1967 (Drainnage and Irrigation Department Kelantan, Flood Report, January 1967). Dengan kepantasan peningkatan air menyebabkan pihak berkuasa tidak sempat mengeluarkan amaran ancaman bencana banjir dan lebih daripada 250000 orang di kawasan bandar dan luar bandar terjejas. Banjir yang berlaku di Barat Malaysia ini direkodkan sebagai banjir yang terbesar dan ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
Di Terengganu pula, dalam tempoh 24 jam sahaja paras air banjir telah naik dalam paras bahay seterusnya menenggelami kawasan di negeri tersebut. Pada 3 Januari 1967 air mula naik pada pukul 6 petang iaitu setinggi 24 inci. Namun enam jam kemudian air telah meningkat menjadi 35 ½ inci dan seterusnya air semakin tinggi menjadi 50 inci pada petang 4 Januari 1967 (Ahmad Anwar Mohd Nor, 1973). Di Kelantan, limpahan air dari sungai-sungai utama di negeri ini yang melimpah telah membanjiri di sekitar kawasan tersebut. Sham Sani (1973) menyatakan, jumlah taburan hujan yang turun di Kelantan pada 6 Januari 1967 sangat tinggi iaitu hampir 48% dan kira-kira 94% taburan hujan yang turun sepanjang tarikh 2 hingga 8 Januari 1967. Limpahan air sungai tersebut juga menambahkan bencana yang lebih teruk apabila kawasan tadahan Sungai Kemasin, Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Semerak juga turut terjejas dan akhirnya menenggelamkan lebih dari 1150 batu persegi tanah termasuk tanah pergunungan di selatan dan barat Kelantan dengan Kuala Krai yang merupakan kawasan paling terjejas teruk apabila dinaiki air.
Banjir besar 1971
Kejadian banjir pada tahun 1971 di Kuala Lumpur dianggap sebagai banjir kedua terburuk yang pernah berlaku apabila 50% kawasan di bandar tersebut telah ditenggelami air. Encik Abu Bakar iaitu cucu kepada Allahyarham Haji Abdullah Hukum memberi rumusan bahawa banjir yang berlaku pada tahun 1971 adalah sama buruk dengan bah besar pada tahun 1926 (Berita Harian, 7 Januari 1971). Beliau juga menambah, banjir pada tahun 1926 dan 1971 telah menenggelamkan landasan keretapi di Jalan Bangsar berbanding kejadian bencana banjir pada tahun 1931 yang mana banjir pada tahun tersebut hanya menenggelamkan hanya 3 kaki padang Selangor Club. Banjir tahun 1971 dikatakan sebagai tandingan setara kepada banjir tahun 1926 kerana kemusnahannya agak dasyat (Berita Harian, 27 Januari 1971). Hampir keseluruhan tanah rendah di seluruh negara telah dinaiki air pada tahun 1971 dengan tiga negeri yang mengalami kesan yang buruk iaitu Pahang, Selangor dan Johor disebabkan peningkatan awal paras air di beberapa sungai. Ooi Jin Bee (1979) menyatakan didalam penulisannya yang bertajuk Semenanjung Malaysia, bermula Disember 1970, paras air di beberapa sungai mula meningkat dari paras 80 kaki sehingga ke 105 kaki atau 24 meter ke 32 meter dari aras biasa. Pahang merupakan negeri yang paling banyak jumlah penduduk yang dipindahkan iaitu seramai 40000 orang manakala di Johor hampir 17000 orang dan Selangor 14000 orang (Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 2010).
Hiew Kim Loi (1996) menyatakan dianggarkan seramai 180000 orang terjejas akibat ancaman banjir dan terpaksa menanggung kerugian sebanyak lebih kurang RM 35 juta.
Video sumber youtube Baca Jer.

Rajah 2 : Kejadian Banjir besar 1971 di sekitar Kuala Lumpur
Bonny Wee menggambarkan keadaan banjir yang berlaku di Melaka dan menyatakan keadaan banjir di negeri tersebut juga semakin rumit apabila huja yang turun tanpa henti. Menurutnya penduduk di negeri tersebut tidak kira golongan dewasa dan kanak-kanak tetap mengharungi air banjir di negeri tersebut walaupun air banjir semakin meningkat dengan kanak-kanak dilihat bermain dan berenang di sekitar jalan dan juga lorong-lorong. Beliau juga menyatakan ‘inflatable tyre tubes, sampans and all kinds of floatable contraptions suddenly surfaced as the rivers swelled and water rose’ (Bonny Wee, 2009). Selain dari bencana banjir, terdapat juga penduduk yang bimbang dengan kenaikan paras air Sungai Melaka apabila ancaman binatang seperti buaya dan ular dilihat menjadi ancaman kepada nyawa penduduk. Selepas seminggu curahan hujan lebat, akhirnya banjir tersebut mulai surut.
Perdana Menteri pada masa tersebut, Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif yang bijak dengan memanggil siding cabinet tergempar dan membuat pengisytiharan Darurat Banjir Kebangsaan yang dilakukan pada 5 Januari 1971 disebabkan keseluruhan kawasan di dalam negara telah ditenggelami air. Selepas siding itu, beliau telah mengumumkan perlantikan dua buah jawatankuasa cabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir dan sebuah jawatankuasa untuk menaksir kerosakan dan untuk mengkaji dan menyarankan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan sosial (Dewan Masyarakat, Jilid 48, Januari 2011). Tun Abdul Razak dilihat amat mengambil berat akan kejadian bencana banjir tersebut dan mengetuai sendiri jawatankuasa tersebut. Beliau juga turut turun ke tempat yang terjejas dan seterusnya mengarahkan segala jentera kerajaan yang ada untuk menghulurkan bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan dengan segera kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.
Impak dan kesan daripada bencana banjir
bencana banjir telah menyebabkan pelbagai kemusnahan dan kerosakan dari segi harta benda, nyawa manusia dan haiwan serta menjadi penyebab kepada merebaknya wabak penyakit. Chan (2010) menyatakan, kerugian banjir boleh dikelaskan kepada dua bentuk kerugian iaitu kerugian langsung dan kerugian tidak langsung. Kerosakan fizikal iaitu kehilangan nyawa, kerosakan dalam dan luar banggunan dan juga kerugian dari segi modal serta kerja-kerja langsung dikatakan sebagai kerugian langsung. Manakala kerosakan tidak langsung pula ialah kerugian kerja dan pengeluaran, ketidakselesaan banjir serta kesusahan akibat banjir (Chan Ngai Weng, 2010).
Bah Ayer Merah yang berlaku pada tahun 1926 telah menyebabkan pelbagai kemusnahan dalam pelbagai segi akibat dinaiki air. Air banjir yang meningkat pada paras yang tertinggi di Perak telah memaksa pihak hospital memindahkan 300 pesakit dari hospital di daerah-daerah yang terjejas ke hospital Taiping dengan menggunakan keretapi disebabkan jambatan yang menyeberangi sungai telah roboh dan tidak dapat dilalui akibat dihentam oleh bah besar. Antaranya Jambatan Ponton yang musnah akibat dilanda oleh arus deras bah tersebut. Manakala di Batang Padang pula, jalan raya yang ada di kawasan tersebut telha terputus dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan darat. Selain dari perhubungan jalan, terdapat banyak kemusnahan harta benda seperti 800 buah rumah di Manong yang telah musnah termasuk 24 buah rumah yang dibina dengan kayu. Selain itu di Lipis, sebanyak 20 buah rumah kedai dan 3 buah rumah banglo mewah Eropah telah tenggelam dan hanyut sehingga menyebabkan rumah yang hanyut tersebut menghentam jambatan yang berdekatan sehingga rosak dan roboh. Bencana bah besar ini juga telah meragut nyawa penduduk setempat. Di Kuala Kubu, seramai 33 orang telah kehilangan nyawa manakala di Pahang seramai 12 orang telah dilaporkan kehilangan nyawa, masing-masing 3 orang di Raub dan 9 orang di daerah Lipis. Bagi sektor pertanian, kemusnahan yang dibawa oleh bah besar menyebabkan penduduk setempat kehilangan tanam-tanaman. Kebanyakkan kawasan tanaman padi telah rosak dan musnah di Tapah selain dari pokok-pokok buah yang telah musnah akibat akar pokok-pokok tersebut terendam terlalu lama di dalam air yang naik.
Bencana banjir ini telah menyebabkan pelbagai bentuk kemusnahan dan kehancuran yang besar yang dialami oleh penduduk dan kawasan sekitar. Selain dari kesan negatif, penduduk juga mengalami kesan negatif dalam sudut sosial yang mencakupi migrasi penduduk, ekonomi dan kesihatan
Migrasi penduduk
Migrasi penduduk adalah salah satu kesan negatif sosial yang dialami oleh penduduk yang terkesan dengan bencana banjir. Penduduk terpaksa berpindah ke tempat yang selamat daripada tempat kediaman akibat kemusnahan dan kerosakan terhadap tempat kediaman mereka akibat dari bencana banjir. Akibat dari bencana yang menimpa, mereka terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh pihak berwajid di kawasan sekolah, masjid, kolej dan dewan. Walaubagaimanapun peningkatan paras air yang terlalu laju menyebabkan sebilangan mangsa banjir tidak dapat berpindah akibat terperangkap di dalam banjir. Mereka walaubagaimanapun terpaksa berlindung di kawasan-kawasan yang tinggi seperti bukit berhampiran, malahan ada yang terpaksa menaiki bumbung rumah mereka dan menunggu bantuan tiba untuk diselamatkan ataupun menunggu sehingga air banjir surut.
Di pusat pemindahan sementara juga memperlihatkan bilangan magnsa-mangsa yang berjaya diselamatkan semakin meningkat. Perkara ini menjadikan pusat-pusat pemindahan sementara menjadi semakin ramai dan padat sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Hal ini juga membuatkan tahap kesejahteraan mangsa-mangsa banjir tersebut semakin menurun disebabkan mereka terpaksa tinggal di pusat pemindahan tersebut dalam masa yang lama. Ketidakselesaan ini adalah disebabkan mereka tidak mempunyai privasi, kepadatan mangsa-mangsa banjir dan keadaan yang bising. Migrasi penduduk ini juga menyebabkan aktiviti rutin harian mereka juga terjejas dimana aktiviti harian yang menjadi kebiasaan tidak dapat dilakukan. Rutin harian yang menjadi kelaziman kepada mereka bertukar kepada rutin yang di luar jangka. Bencana banjir yang menimpa penduduk menyebabkan mereka terpaksa berpindah, menyelamatkan harta benda, membersih rumah dan sebagainya. Ada juga mangsa yang tidak dapat melakukan pekerjaan mereka akibat daripada bencana banjir yang berlaku.
Ekonomi
Antara yang paling dirasai oleh mangsa-mangsa bencana banjir ialah dari segi ekonomi. Bencana banjir yang menimpa penduduk telah menyebabkan mereka kerugian beribu ringgit bahkan ada yang kerugian sehingga ratusan ringgit akibat dari kehilangan harta benda dan tempat kediaman. Bagi individu dan keluarga yang terlibat dengan bencana banjir, kehilangan harta benda ini tidak akan dapat dikembalikan dan akibat daripada jumlah kerugian yang terlalu besar menyebabkan mereka mengalami kemerosotan ekonomi. Mereka juga terpaksa berbelanja besar untuk menggantikan segala harta benda mereka yang rosak dan hilang, selain dari melakukan baik pulih yang mana ianya juga menelan belanja yang besar untuk dilakukan.
Kesan daripada segi ekonomi ini menyebabkan mangsa-mangsa banjir mengalami kejatuhan di dalam kualiti hidup mereka apabila terpaksa mengeluarkan belanja yang diluar jangka sehingga menyebabkan kemelesetan yang serius dalam kewangan mereka. Walaupun terdapat pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan dengan menggantikan harta benda mereka, namun nilai kehilangan dan kerosakan tersebut belum dapat menggantikan nilai sebenar kehilangan tersebut. Lindell & Prater (2003) menyatakan, keadaan ini bertambah serius apabila mangsa bencana yang tidak mempunyai jaminan sosial seperti insurans menyebabkan proses untuk mendapatkan semula apa yang hilang menjadi satu hambatan apabila dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan dan juga kebergantungan. Kesan ekonomi bukan sahaja dilihat hanya dari kerugian nilai, bahkan punca kejatuhan ekonomi itu sendiri menyebabkan mangsa-mangsa banjir mengalami kejatuhan moral dan emosi dalam meneruskan kehidupan.
Kesihatan
Umum mengetahui kesan bencana banjir yang berlaku menyebabkan peningkatan dalam masalah kesihatan yang merebak terutama dari segi aspek emosi dan juga psikologi mangsa-mangsa. Kesan psikologikal yang diterima adalah berbeza bagi setiap individu mengikut perbezaan usia, jantina, tempat atau daerah (Rohany Nasir, Zainah Ahmad Zamani, 2012). Mangsa-mangsa banjir terpaksa melalui pelbagai kesusahan dan ianya berlaku dalam sekelip mata menyebabkan mereka kurang bersedia untuk menghadapi masalah yang datang sekaligus. Ianya menjadikan mereka tertekan, bimbang, terancam dan sedih akan nasib mereka akibat ditimpa bencana banjir. Kesan bencana adalah termasuk depresi, kebimbangan, kecelaruan, panic dan masalah kesihatan (Norris, 2005).
Air banjir yang surut juga tidak menjadikan masalah ini akan berakhir. Penduduk yang mula datang kembali ke penempatan asal mereka akan mengalami masalah daripada kekurangan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan sebagainya. Mereka juga perlu menghadapi perasaan takut dan trauma yang berpanjangan. Carrol et al (2010) mentafsirkan, trauma ataupun post-traumatic stress disorder merupakan satu tidak balas emosi terhadap sesuatu keadaan mengejutkan atau menyedihkan dan seterusnya trauma boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan mangsa banjir. Mangsa-mangsa banjir akan mendapati diri mereka sukar untuk berpindah secara tetap dari kawasan kediaman mereka akibat dari tuntutan hidup yang tertentu. Ini menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam keadaan gelisah dan takut jika bencana yang sama datang kembali.
Kesan dari segi kesihatan ini bukan sahaja berlaku semasa banjir sedang berlaku, bahkan selepasa air surut juga mendatangkan ancaman penyakit kepada mangsa-mangsa banjir. Wabak penyakit bawaaan air seperti demam kepialu dan taun dilihat menjadi ancaman dan mudah merebak dikalangan mangsa banjir. Jangkitan penyakit ini adalah disebabkan bahan kimia dan toksik serta pathogen ini dibawa oleh air banjir dan mengalir ke seluruh kawasan yang dilanda bencana tersebut, seterusnya memberi ancaman kepada penduduk yang terdedah kepada penyakit tersebut. Selian itu manusia juga terdedah dengan penyakit bawaan vector seperti nyamuk dan lalat dan jangkitan ini terhadap manusia menjadi lebih terdedah akibat dari kekurangan kemampuan sistem pertahanan badan manusia.
Kesimpulan
Bencana banjir yang berlaku memberi impak samada sedikit ataupun dalam jumlah yang besar kepada pihak-pihak yang terlibat. Keadaan ini juga memberi kesan yang negatif dari segi sosial dan gangguan dari segi fizikal terhadap penduduk yang terlibat. Sejarah bencana banjir yang berlaku seperti yang dinyatakan dilihat memberi masalah kepada penduduk seperti kemerosotan kualiti hidup terutama bagi mangsa bencana itu sendiri. Pelbagai kesan negatif juga dilihat akan menghantui mangsa-mangsa banjir ini antaranya dari segi ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan hidup penduduk yang ditimpa bencana ini. Sejarah bencana banjir seperti yang dinyatakan sepatutnya memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat akan ancaman yang pernah dan akan dihadapi oleh masyarakat di Malaysia. selain itu pihak-pihak yang berwajib juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka dalam mengatasi mahupun menggurangkan risiko banjir yang memberi ancaman kepada masyarakat di negara ini. pelbagai langkah-langkah persediaan perlu dirangka dan dirancang supaya masyarakat dapat melakukan persediaan agar ianya dapat meminimumkan risiko bencana banjir selain dari impak yang perlu dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. Perkara ini tidak akan akan dapat dilaksanakan jika kurangnya kerjasama di antara pihak berwajib dan juga masyarakat selain kesedaran yang diperlukan dalam menghadapi bencana banjir.
Ulasan
Catat Ulasan